Pengikut laman ini

Friday, January 23, 2009

Karangan Contoh SPM - Rumah Terbuka

Rumah Terbuka Rakyat Malaysia (Buku Teks Tingkatan 5 m/s 1)

Soalan Contoh
Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, anda telah mengunjungi rumah terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
Huraikan kebaikan dan keburukan mengadakan rumah terbuka.

Pendahuluan
- Jelaskan konsep rumah terbuka secara umum.

Isi-isi Penting
i. mengeratkan perpaduan kaum
ii. memahami budaya kaum lain
iii. masalah kebersihan
iv. ada yang mementingkan diri

Penutup
- konsep rumah terbuka perlu dihayati.

Karangan Contoh

Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta".

Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang hadir, iaitu tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat. Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan menjaga aspek kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu.

Penganjuran rumah terbuka juga mendatangkan kesan negatif kerana terdapat pihak yang mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku, sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat makanan langsung.

Sebagai kesimpulannya, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, "Rumah siap pahat berbunyi" apabila menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.
Oleh; Cikgu Mohd Khir Kassim

Sunday, January 18, 2009

Teknik untuk Memikirkan Isi Karangan SPM dan STPM

Teknik (InKeMaNeTekA)

Bagaimanakah cara untuk memikirkan isi-isi karangan? Terdapat beberapa cara untuk memikirkan isi-isi karangan yang berkaitan dengan soalan atau fokus soalan karangan. Ada orang yang menggunakan teknik berfikir mengikut bidang iaitu faktor ekonomi, sosial, dan politik. Selain itu ada cara lain yang boleh digunakan iaitu dengan menggunakan cara atau teknik (InKeMaNeTekA) Individu (In), Keluarga (Ke), Masyarakat (Ma – Kawan, jiran dan Sekolah), Negara (Ne), Teknologi (Tek), dan Antarabangsa (A).

Sekurang-kurangnya apabila menggunakan teknik ini, murid-murid tahu apa yang hendak difikirkan berbanding dengan sebelum ini, iaitu mereka berfikir dengan cara yang tidak sistematik dan berharap idea muncul secara tiba-tiba atau mengharapkan isi karangan terlintas dalam fikiran. Perkara ini menyebabkan mereka terpaksa memakan masa yang lama untuk memikirkan sesuatu isi itu. Oleh itu teknik ini diharapkan dapat membantu calon-calon untuk memikirkan isi-isi yang berkaitan dengan soalan karangan itu.

Biasanya banyak soalan yang meminta calon SPM menghuraikan punca-punca dan langkah-langkah terhadap sesuatu masalah. Teknik ini (InKeMaNeTekA) memang sesuai untuk mencari isi bagi punca-punca dan langkah-langkah bagi sesuatu masalah. Sebagai contohnya, bagi masalah demam denggi, punca-puncanya boleh difikirkan berdasarkan teknik ini, iaitu faktor individu. Individu yang tiada kesedaran dan tidak mementingkan aspek kebersihan sudah tentu menjadi punca berakunya demam denggi. Seterusnya, faktor keluarga juga boleh menyebabkan penyakit demam denggi, jika ibu dan bapa tidak menitikberatkan aspek kebersihan. Selain itu, faktor masyarakat turut menjadi puncanya jika jiran-jiran tidak mengambil berat aspek kebersihan. Faktor negara juga memainkan peranan penting iaitu melalui kempen dan usaha kementerian yang berkaitan. Sebenarnya masalah lain, seperti masalah disiplin dalam kalangan pelajar, ragut, penculikan kanak-kanak, rasuah, dan sebagainya juga boleh menggunakan teknik ini untuk memikirkan isi-isinya.

Selain faktor sesuatu masalah, langkah untuk mengatasi masalah tersebut juga boleh menggunakan teknik ini bagi memikirkan isi-isinya. Sebagai contohnya, masalah demam denggi, langkah-langkah untuk menanganinya juga boleh menggunakan teknik ini untuk memikirkan isi-isinya. Bagi individu, sudah tentu kesedaran individu tentang aspek kebersihan persekitaran itu penting untuk menangani penyakit demam denggi. Seterusnya, keluarga juga memainkan peranan penting iaitu ibu bapa perlu mendidik anak-anak dan menunjukkan contoh untuk menjaga kebersihan persekitaran. Masyarakat juga tidak terkecuali, iaitu jiran, kawan, dan sekolah perlu bertindak untuk menangani penyakit tersebut. Bagi negara pula, kita kaitkan dengan peranan kerajaan iaitu, pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Penerangan hendaklah menjalankan kempen dan usaha-usaha lain untuk menanganinya. Selain itu, peranan NGO juga boleh dikaitkan dalam olahan karangan. Tidak ketinggalan, aspek teknologi juga penting iaitu melalui teknologi maklumat dan media massa seperti media elektronik yang memang memainkan peranan penting untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat bagi menangani penyakit demam denggi. Kadang-kadang aspek antarabangsa juga boleh dikaitkan sekiranya ada negara lain atau pertubuhan antarabangsa yang berkaitan, seperti WHO (World Health Organisation) yang menjalankan kajian atau berusaha untuk menangani penyakit terebut.
Cubalah teknik ini semasa membuat latihan karangan seperti yang diarahkan oleh guru. Mudah-mudahan murid-murid tidak menghadapi masalah untuk memikirkan atau mencari isi-isi karangan.
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, January 13, 2009

Karangan Tingkatan 6

Berdasarkan isu-isu karangan yang telah disenaraikan tadi, murid-murid bolehlah memikirkan fokus soalannya. Murid-murid perlu berlatih untuk membina soalan sendiri berdasarkan fokus soalan tersebut. Hal ini dapat membantu murid untuk mempertajam pemikiran bagi menulis karangan. Sila teliti soalan tahun lepas dan binalah soalan sendiri berdasarkan soalan-soalan yang pernah dikeluarkan dalam peperiksaan STPM sebagai panduan. Sebagai contoh, berdasarkan isu "Bangunan atau Tempat Bersejarah" seperti yang disenaraikan tadi, dapatlah dibina soalan iaitu:Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut dan usaha untuk memuliharanya.
Isunya ialah bangunan atau tempat bersejarah dan fokus soalannya ialah kelebihan bangunan tersebut dan usaha untuk memuliharanya. Berdasarkan soalan contoh tersebut, murid-murid bolehlah membina soalan sendiri berpandukan isu-isu lain yang telah dikemukakan sebelum ini.

Murid-murid juga perlu sedar bahawa menulis karangan ialah kemahiran yang perlu digilap melalui latihan yang konsisten dan berterusan. Sekiranya murid-murid tidak membiasakan diri dengan latihan untuk menulis karangan sudah pasti murid-murid akan menghadapi masalah dan berasa kekok untuk menulis karangan semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Oleh hal yang demikian, murid-murid perlulah mendisiplinkan diri dengan sekurang-kurangnya menulis satu atau dua perenggan karangan setiap hari. Murid-murid perlulah memperuntukkan masa sekurang-kurangnya sepuluh minit untuk menulis satu perenggan karangan setiap hari. Jadikan perkara tersebut sebagai amalan harian yang perlu dilakukan seperti amalan menunaikan solat lima waktu setiap hari. Insya-Allah, jika amalan ini dilakukan, sudah pasti murid-murid dapat menguasai kemahiran mengarang, seperti kata peribahasa Melayu, "Alah bisa tegal biasa". Anda pasti akan berasa seronok untuk mengarang dan soalan karangan bukanlah soalan yang sukar untuk dijawab.

Saya suka menekankan aspek penulisan karangan ini kerana banyak murid yang menghadapi masalah untuk menulis karangan dan menganggap penulisan karangan sebagai suatu perkara yang amat sukar dan berat untuk dilakukan. Hal ini menyebabkan murid tidak mahu membuat latihan secara bersistematik seperti yang selalu diingatkan oleh guru. Oleh itu, murid-murid hendaklah mengubah persepsi tersebut dan jadikan amalan menulis satu atau dua perenggan karangan sekurang-kurangnya setiap hari sebagai satu budaya atau amalan seharian sehingga pada hari peperiksaan. Jangan lupa untuk mendapatkan komen daripada guru tentang karangan yang telah anda tulis itu. Ingatlah bahawa dengan membuat latihan yang konsisten, sudah pasti murid-murid akan dapat menulis karangan yang mantap dan cemerlang dalam peperiksaan nanti.
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, January 10, 2009

Isu Karangan STPM 2009

Seperti biasa, isu karangan yang dijadikan fokus setiap tahun sentiasa berubah. Hal ini demikian kerana, ada isu yang sudah disoal dalam peperiksaan STPM pada tahun lepas atau tahun-tahun sebelumnya. Namun demikian, ada juga isu yang masih belum disoal dalam peperiksaan STPM pada tahun-tahun sebelumnya. Oleh hal yang demikian, isu tersebut mungkin masih relevan dengan keadaan semasa dan masih boleh dijadikan fokus oleh murid-murid Tingkatan 6 pada tahun ini.

Kebiasaannya, soalan-soalan yang pernah keluar dalam peperiksaan STPM akan berfokus kepada isu nasional atau negara, masyarakat serta remaja atau pelajar. Oleh hal yang dimikian saya telah menyediakan isu-isu yang boleh digunakan oleh murid-murid dan guru-guru untuk dibincangkan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Murid-murid bolehlah mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan isu tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan STPM pada tahun ini. Murid-murid perlu bersedia lebih awal dan perlu berlatih untuk mengolah isi karangan agar menjadi karangan yang mantap. Yang berikut disenaraikan isu-isu karangan tersebut.

1. Penggunaan Bahasa yang Salah pada Papan Tanda dan Iklan Bercetak
2. Kemalangan Maut Menjelang Perayaan Utama
3. Demam Denggi/Chikungunya
4. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
5. Gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah
6. Kenaikan Harga Barang
7. Kebanjiran Bahan-bahan Berunsur Lucah, Tahyul dan Ganas
8. Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin
9. Usaha untuk Memajukan Industri Pertanian di Malaysia
10.Kebanjiran Drama Bersiri Asing
11.Bangunan atau Tempat Bersejarah
12.Masalah Bencana Alam
13.Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan di Negara Kita
14.Internet dan Dasar Langit Terbuka
15.Jenayah Ragut dan Langkah untuk Menanganinya
16.Penggunaan Kad Kredit
17.Masalah Perumahan
18.Penyakit kanser
19. Sekolah Kluster

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim